Tuesday, September 16, 2008

PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR,TANGGUNGJAWAB BERSAMA

http://www.jais.gov.my - LAMAN WEB RASMI JAIS, kutbah jumaat

Sidang jumaat yang berbahagia,

Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kita
meninggalkan dunia ini melainkan dalam keadaan kita menjadi orang islam yang beriman kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t mengurniakan darjat kemuliaan kepada manusia untuk mengambil manfaat daridapa makhluk lain, maka
manusia bertanggungjawab memelihara dan menjaga alam ini dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama
manusia ditugaskan sebagai khalifah untuk memikul tanggungjawab, mengurus dan mengatur segala urusan kehidupan
mereka dengan sebaiknya.
Firman Allah s.w.t:
"Dan (ingatlah) ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat:"Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah
dibumi"
Al-Baqarah ayat 30

Sidang jumaat yang dihormati Allah s.w.t,

Islam mengingatkan kita supaya menjaga alam sekitar, bahkan perkara ini sering diberi peringatan dalam bentuk
mengajak manusia berfikir akan kejadian alam.

Malangnya kewajipan untuk memastikan keceriaan dan kebersihan alam sekitar dipandang remeh oleh sebilangan
masyarakat pada hari ini. Kejahilan manusia banyak membawa kemudaratan kepada alam sekitar dan penghuninya
sehingga menyebabkan berlakunya berbagai-bagai bentuk pencemaran, samada pencemaran air,udara dan
sebagainya. Bahkan sudah ada fakta yang menyebut tentang berlakunya pencemaran diruang angkasa hasil kerja
buatan tangan manusia yang bersifat tamak dan gelojoh untuk mengeksploitasinya sebagaimana yang diterangkan oleh
Allah s.w.t didalam surah Ar-Rum ayat 41, diawal mukaddimah tadi yang bermaksud:

"Telah nampak kerosakan didarat dan dilaut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan
kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)"

Tidak dinafikan lagi, bahawa perkembangan dan kemajuan sains dan teknologi telah menyaksikan kecanggihan ciptaan
dan penemuan baru manusia dalam pelbagai bidang seperti pembangunan,pertanian dan perindustrian.Namun
kecanggihan ini menyebabkan manusia lupa kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Sampah sarap tidak diurus dengan baik, sungai-sungai dicemari dengan pelbagai kekotoran termasuk sisa-sisa toksid,
bukit-bukau digondol dan diratakan, hutan tadahan air ditebang dan dibakar. Apabila hutan dan bukit diteroka sesuka
hati, maka berlakulah pelbagai bencana alam termasuk jerebu, gempa bumi, banjir dan sebagainya, ditempat yang tidak
pernah berlaku sebelum ini.

Rentetan daripada aktiviti pencemaran yang tidak terkawal ini,maka lahirlah bermacam-macam penyakit, yang tidak
pernah terlintas difikiran kita 50 tahun yang lalu. Hari ini pelbagai jenis penyakit akut dan kronik dilaporkan berlaku
dikalangan kanak-kanak dan ia dikatakan akibat dedahan kepada agen-agen toksid disekeliling mereka.

Peningkatan jualan pelbagai jenis barangan kesihatan,ubat-ubatan dan makanan tambahan membuktikan semakin
bertambah pelbagai jenis penyakit dikalangan manusia. Hinggakan sesetengah mereka yang berpenyakit itu meninggal
dunia, tidak dapat didiagnosisi dan tidak dapat dipastikan dengan jelas oleh pakar perubatan tentang apakah penyakit
yang mereka alami.

Manusia lupa bahawa agen racun dan toksid itu kini berada disekeliling mereka . Toksid boleh dibawa oleh asap rokok,
alahan(habuk,bulu,lipas) , bahan kimia organik meruap (pewangi udara,kosmetik), karbon monoksida (dapur gas),
esbestos( bahan yang diperbuat atap rumah), racun makhluk perosak dan sebagainya.

Pendedahan agen toksid boleh memberi kesan buruk yang berkekalan pada kesihatan kanak-kanak dan berlaku
disemua peringkat kehidupan berlaku semenjak mereka berada dalam rahim ibu lagi. Kesan keracunannya juga ada
yang dapat dilihat semenjak mereka dilahirkan atau pun setelah usia mereka meningkat remaja.

Antara kesan keracunan terhadap kanak-kanak adalah seperti kesukaran untuk belajar, masalah perlakuan,penyakit
pada sistem pernafasan,kanser dan penyakit-penyakit berkaitan kerosakkan sistem saraf pada tubuh badan.

Januari lalu, menteri kesihatan memaklumkan bahawa 340,000 kanak-kanak dinegara ini, telah mengidap penyakit asma
yang dipercayai berpunca daripada pendedahan terhadap agen toksid pada alam sekitar. Sementara itu pertubuhan
kesihatan sedunia (WHO) pula memaklumkan, pada tahun 2002 bahawa sekurang-kurangnya 3 juta kanak-kanak
dibawah umur 5 tahun, mati setiap tahun akibat pendedahan terhadap agen pencemaran dari alam sekitar.

Agensi perlindungan alam sekitar Amerika (EPA) pula telah menganggarkan sejumlah 150,000-300,000 kes jangkitan
paru-paru setiap tahun dikalangan bayi dan kanak-kanak sehingga berumur 18 bulan adalah disebabkan terhidu asap
rokok dan sebagainya. Maka langkah-langkah yang berterusan dalam melindungi alam sekitar perlu dilakukan segera,
agar kesihatan anak-anak kita lebih terjamin. Ini kerana mereka adalah penyambung zuriat dan aset masa depan
negara. Pendedahan agen toksid alam sekitar perlu dicegah melalui program pendidikan dan kesedaran orang ramai,
ketulusan dan komitmen syarikat pengeluar serta penguatkuasaan undang-undang.

Ingatlah , untuk menyayangi anak-anak bukan setakat memberi kasih sayang kepada mereka sahaja, tetapi kepada
alam sekitar mereka.

Kita sedih dan berdukacita jika anak-anak kita sakit atau meninggal dunia. Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak
memelihara alam sekitar yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak ini. Kita tidak merasa apa-apa apabila
merokok dihadapan anak-anak dan ibu bapa. Ini bererti kita turut bersyubahat dalam membunuh anak-anak itu.

Sebagai umat islam, kita perlu menyedari bahawa kita bertanggungjawab menjaga hubungan yang baik sesama
manusia, khususnya umat islam. Kita tidak boleh mengkhianati dengan menyakiti hati jiran atau pun menyebabkan jiran
terkena sebarang kemudaratan hasil perlakuan kita. Imam At-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda:


"Seorang Islam adalah saudara bagi orang islam yang lain. Dia tidak boleh mengkhianatinya dan tidak boleh menipunya
serta tidak boleh menghinanya".
Sidang jumaat sekalian!,

Kita sudah mempunyai pelbagai akta, peraturan dan undang-undang berkaitan dengan alam sekitar. Antaranya akta
kualiti alam sekitar 1974 dan 1984, peraturan kenderaan bermotor (kawalan pelepasan asap 1977), peraturan kualiti
alam sekitar (minyak kelapa sawit 1977) peraturan kualiti alam sekitar (udara bersih 1978), peraturan kualiti alam sekitar
(kumbahan dan efluen perindustrian,1979 ) peraturan kualiti alam sekitar (bahan buangan berjadual 1985) dan berbagaibagai
peraturan lagi.

Namun peraturan hanya tinggal peraturan jika penguatkuasaannya lemah dan sikap masyarakat tidak
berubah.Masyarakat perlu ada kesedaran untuk memiliki alam yang bersih dan ceria. Masyarakat perlu menyedari
bahawa dengan membuang sehelai plastik pembungkusan makanan, mungkin akan menyebabkan berlakunya banjir
yang menenggelamkan dan meranapkan rumah kediaman mereka. Bahkan islam telah memberikan garis panduan
menyeluruh yang boleh dipatuhi oleh umat manusia dalam memastikan alam sekitar terus dipelihara. Justeru, tuntutan
pemeliharaan alam sekitar akan memastikan keselesaan dan kesegaran dimuka bumi ini terus berkekalan untuk
kehidupan generasi akan datang.

Manusia perlu ada rasa kesedaran, bahawa dengan hembusan asap rokoknya, mungkin akan menyebabkan satu nyawa
orang yang tidak berdosa melayang.

Manusia juga perlu sedar, jika bukit dan tuhan dimusnahkan, mungkin akan menyebabkan berlakunya gempa bumi yang
meranapkan seluruh negeri dan mematikan ribuan nyawa manusia.


Yang paling utama, manusia perlu menyedari, bahawa setiap yang dilakukan diatas muka bumi ini akan dipersoalkan
dan dibicarakan oleh Allah s.w.t dipadang masyar kelak.

Ya Allah, kurniakan kerahmatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan keatas
negeri kami,Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu-padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak
mulia,lindungi kami daripada persengketaan,perpecahan,fitnah memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian
negeri selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

No comments: