Sunday, September 14, 2008

Sisa Elektronik Cabaran Pengurusan Sisa Pepejal Di Malaysia

Oleh : Abdul Rahman Mahmud & Mohamad Armi Bin Abu Samah

Setiap tahun dianggarkan sebanyak 50 juta tan buangan elektronik dibuang sebagai bahan sisa pepejal di seluruh dunia. Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu melaporkan 5 peratus daripada jumlah sisa perbandaran terdiri daripada buangan elektronik. Lambakan buangan elektronik ini sebenarnya boleh membawa implikasi yang besar terhadap manusia dan alam sekitar. Ia merupakan suatu cabaran kepada pengurusan sisa pepejal samaada diperingkat lokal mahupun global.
Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China adalah antara pengeluar bahan buangan elektronik yang tertinggi di dunia. Pada tahun 2007 sahaja di AS terdapat lebih kurang 700 juta komputer usang yang sedia untuk dilupuskan sebagai bahan sisa pepejal. Sementara itu negara China dilaporkan mengeluarkan 1 juta tan buangan elektronik setahun dan negara Kesatuan Eropah menjana lebih kurang 8.7 juta tan buangan elektronik setahun.
Dalam konteks Malaysia penggunaan peralatan elektronik turut bertambah seiring dengan pertambahan penduduknya. Statistik menunjukan sejak tahun 1999 hingga 2003 jumlah komputer yang digunakan telah meningkat sebanyak 2 kali ganda iaitu daripada 1.8 juta kepada 4.18 juta. Sementara itu penggunaan telefon bimbit meningkat sebanyak 4 kali ganda daripada 2.7 juta pada tahun 1999 kepada 11.12 juta pada tahun 2003.
Selain itu peralatan elektronik yang digunakan oleh penduduk Malaysia menunjukan angka yang agak tinggi. Iaitu pada tahun 2003 bagi TV ialah 4.5 juta, radio 9.4 juta dan peti sejuk sebanyak 3.5 juta. Kesemua barangan ini bakal menjadi bahan buangan apabila sampai ke penghujung hayatnya. Pada tahun 2004 adalah dianggarkan sebanyak 380,000 hingga 430,000 tan buangan elektronik dikeluarkan oleh negara ini. Persoalanya apakah kita telah bersedia untuk menguruskan lambakan pertambahan buangan elektronik ini pada masa hadapan?
Sememangnya pengurusan buangan sisa pepejal di Malaysia pada ketika ini amat mencabar dan seringkali menjadi isu nasional. Kebanyakan tapak pelupusan sampah di Malaysia kini mempunyai hayat tampungan yang semakin berkurangan. Ini disebabkan oleh jumlah penjanaan bahan sisa pepejal dan pertambahan penduduk yang semakin meningkat. Pada ketika ini dianggarkan 18,000 tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari di seluruh Malaysia. Di Kedah misalnya, sehingga tahun 2006, terdapat lebih kurang 11 buah tapak pelupusan sisa pepejal dan 50% daripadanya mempunyai jangka hayat tidak lebih daripada 4 tahun.
Antara isu yang seringkali timbul mengenai pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal adalah aspek penempatan dan rekabentuknya yang tidak menepati spesifikasi kejuruteraan dan tidak menerapkan konsep mesra alam. Hal ini telah mengundang pelbagai kesan buruk terhadap persekitaran seperti bau busuk dan pelepasan air larut resap dari tapak pelupusan sehingga menjejaskan kualiti air sungai dikawasan yang berhampiran.
Dalam konteks buangan elektronik pula, ia memerlukan suatu sistem pengurusan yang agak kompleks dan berbeza dengan pengurusan sisa pepejal harian. Sejak tahun 1990 Kesatuan Eropah telah melarang pelupusan buangan elektronik bersama dengan sisa pepejal harian.
Terdapat dua sebab utama mengapa buangan elektronik perlu di urus secara sistematik. Sebab yang pertama adalah buangan elektronik mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Terdapat lebih kurang seribu jenis bahan kimia yang terdapat dalam buangan elektronik. Ini termasuklah beberapa jenis logam berat yang boleh membawa kesan toksik kepada manusia seperti plumbum, raksa dan kadmium. Buangan elektronik juga mengandungi Polychlorinated biphenyls (PCBs) yang boleh membawa kesan karsinogenik kepada manusia.
Kajian yang dibuat oleh Basel Action Network (BAN) daripada sejumlah 500 juta komputer di dapati mengandungi 2.8 bilion kg plastik, 716.1 juta kg plumbum dan 286,700 kg raksa. Secara puratanya setiap sebuah monitor komputer mempunyai 6 % plumbum yang kebanyakanya terdapat dalam kaca tiub sinar katod (CRT).
Sebab kedua mengapa buangan elektronik perlu diurus secara sistematik kerana peningkatan drastik jumlah bahan buangan elektronik. Jumlah tapak pelupusan yang sedia ada kini amat terhad dan tidak sesuai untuk pelupusan buangan elektronik. Pelupusan buangan elektronik kebiasaanya memerlukan proses yang agak kompleks. Kaedah pelupusan bahan buangan elektronik juga perlu mematuhi perundangan alam sekitar yang telah ditetapkan.
Buangan elektronik kini di jadikan sebagai sumber bahan mentah untuk industri kitar semula bagi mendapatkan bahan – bahan kimia yang bernilai untuk kegunaan lain. Selain itu, buangan elektronik seperti komputer boleh di guna semula dengan kaedah membaik pulih komputer lama. Konsep 3R (reuse,reduce,recycle) telah diterapkan dalam usaha untuk mengelakan bahan buangan elektronik terus di lupus dan mencemarkan alam. Walau bagaimanapun kaedah pelupusan buangan elektronik perlu mematuhi prosedur perundangan yang ketat.
Di Malaysia buangan elektronik perlu mematuhi perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ditadbir oleh Jabatan Alam Sekitar. Buangan elektronik dikategorikan sebagai Buangan Terjadual (Schedule Wastes) di bawah kod SW 110. Pelupusan buangan elektronik perlu mengikuti peraturan – peraturan yang telah ditetapkan. Konsep dari buaian hingga ke liang lahad (cradle to grave) di amalkan bagi memastikan tiada sebarang ketirisan dalam pelupusan bahan buangan ini. Mengurus buangan elektronik dari ianya terhasil sehinggalah ia dilupuskan di tapak pelupusan selamat yang dilesenkan oleh kerajaan.
Dalam konteks antarabangsa, buangan elektronik telah di senaraikan di bawah kod A1180 dan kod A2010 di bawah Perjanjian Basel. Perjanjian Basel ini bermatlamat untuk mengerakan masyarakat antarabangsa mengenai usaha menjaga kesihatan manusia dan alam sekitar daripada kesan bahan buangan berbahaya, serta berusaha untuk mengurangkan penghasilan dan mengawal pergerakan buangan berbahaya rentas benua. Malaysia merupakan satu daripada 116 negara yang telah menandatangani perjanjian basel pada tahun 1989.
Sungguhpun Perjanjian Basel ini telah lama diwujudkan namun isu eksport dan import buangan elektronik secara haram masih belum selesai. Menurut laporan Basel Action Network ada dikalangan negara – negara maju terutama Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun terus mengeksport buangan elektronik ke negara seperti India, China dan Pakistan. Kawasan perkampungan di China iaitu Ghuiyu di Wilayah Guangdong telah menjadi korban lambakan sisa elektronik ini.
Kebimbangan masyarakat dunia mengenai peningkatan lambakan buangan elektronik ini telah menyebabkan pertubuhan Greenpeace China, SCOPE of Pakistan dan Toxics Link India bergerak aktif untuk menghalang sebarang bentuk pengeksportan dan pengimportan bahan ini. Laporan yang dibuat oleh Basel Action Network juga mendapati daripada 8.7 tan buangan elektronik yang dikeluarkan oleh negara Kesatuan Eropah hanya 2.1 tan atau 25 peratus sahaja yang dikumpul untuk dilupuskan, manakala sebahagianya gagal untuk dikenalpasti. Adalah disyaki bahawa selebihnya telah di eksport ke negara Asia seperti India dan China.
Pengurusan buangan elektronik di Malaysia perlu dilihat sebagai suatu cabaran besar. Ia hanya mampu di laksanakan dengan kesedaran dan kerjasama diantara semua pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. Selain daripada polisi dan perundangan amalan mesra alam perlu diterapkan di semua peringkat untuk memastikan risiko buangan elektronik ini dapat dikawal pada tahap minimum.
Antara amalan yang boleh dilakukan pertama, adalah mengembalikan setiap barangan elektronik yang lusuh kepada penjual. Kedua, menukar barangan elektronik yang lama apabila membeli yang baru. Ketiga, menghantar ke pusat – pusat kitar semula. Keempat, penggunaan komputer di sektor awam umpamanya perlu di servis secara berkala bagi memanjangkan hayat penggunaan barangan elektronik.
Kelima, membeli barangan elektronik yang lama tapi masih boleh digunakan. Keenam, memperbanyakan tong kitar semula bahan buangan elektronik untuk telefon bimbit. Ketujuh, memperbanyakan program kesedaran dikalangan masyarakat mengenai isu lambakan buangan elektronik dan kesanya terhadap alam sekitar.
Sesungguhnya langkah – langkah ini perlu segera dilaksanakan bagi mengelakan negara kita terus menjadi lambakan buangan elektronik sehingga boleh menjejaskan alam sekitar dan manusia. Cintai alam berubahlah dari sekarang!


Rujukan :
Theng Leng Chong, E Waste Management 2008. Majalah Impak 1/2008.
Pauziah Hanum Ghazali, Buangan Elektrik dan Elektronik (E-waste) di Malaysia 2008. Majalah Era Hijau 1/2008.
Theng Leng Chong, Waste to Wealth How It Works In Malaysia 2006. Majalah Impak 1/2006.
Abdul Rahman Mahmud, Draf Pelan Induk Tindakan Alam Sekitar Negeri Kedah, 2008. Jabatan Alam Sekitar Kedah.
The Basel Action Network (BAN) & Silicon Valley Toxic (SVTC), Exporting Harm : The High Tech Trashing of Asia 2002.
Department of Environment Malaysia : Guidelines for The Classification of Used Electrical And Electronic Equipment In Malaysia 2008 .
E – waste : E- Trash Swamps the Developing World – di akses pada 12 Julai 2008.

1 comment:

ada said...

bagaimana jika diwujudkan collection centre khas bagi e-waste bagi memudahkan orang awam untuk membuang e-waste dari rumah mereka. ini akan memudahkan mereka kerana sebelum ini kemudahan tersebut sukat didapati dan langsung tiada di sesetengah tempat. saya berminat untuk menjalankan kajian untuk tujuan tersebut.